Nov 30, 2008

Malaysia Boleh!!

Kagum dengan daya intelektual anak tempatan. Penjelasan lanjut dalam artikel Utusan Malaysia di bawah.


Terowong Smart keajaiban kejuruteraan moden

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

APABILA kita mula-mula diperkenalkan dengan terowong Smart atau nama penuhnya Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn. Bhd. lebih setahun lalu, ramai yang agak sinis dengannya.

Kebetulan seminggu selepas Terowong Smart dibuka untuk laluan kenderaan, Kuala Lumpur dilanda dengan banjir yang besar dan banyak kawasan di sekitar bandar raya ditenggelami air.

Ketika itu ramai yang ragu-ragu dengan dwi fungsi Terowong Smart iaitu sebagai laluan alternatif bagi air dan kenderaan.

Tetapi sebenarnya ketika itu, Smart yang merupakan singkatan daripada Stormwater Management and Road Tunnel hanya dibuka bagi laluan kenderaan dan bukannya untuk laluan air yang bertambah kerana hujan lebat.

Tetapi selepas setahun dibuka kepada orang ramai, Smart telah melakukan segala tugasannya dengan begitu sempurna.

Setiap kali hujan lebat, kawasan sekitar Kuala Lumpur tidak lagi dilanda dengan banjir kilat yang melibatkan kerugian berjuta-juta ringgit.

Smart kini boleh berbangga kerana ia bukan saja diterima di dalam negara tetapi juga menerima pengiktirafan dari luar negara.

Teknologi Smart telah dianugerahkan Anugerah Antarabangsa bagi British Construction Industry Awards (BCIA) 2008 yang berlangsung di London pada Ogos, baru-baru ini.

Pengurus Besar Operasi Smart, Mohd. Fuad Kamal Ariffin berkata, Smart dipilih bagi kategori antarabangsa kerana projek yang luar biasa dan unik bagi menyelesaikan masalah banjir dan kesesakan lalu lintas pada masa yang sama.

“Projek di bawah kerajaan persekutuan dan dilaksanakan menerusi usahasama antara MMC Corp. Bhd. dan Gamuda Berhad dengan Jabatan Perairan dan Saliran dan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) sebagai mewakili agensi kerajaan,” katanya.

Menyentuh mengenai anugerah yang diterima, Mohd. Fuad berkata, pihaknya dengan rakan kongsi dan konsultan Sepakat Setia Perunding-Mott MacDonald telah menghantar penyertaan kepada pihak penganjur.

BCIA merupakan anugerah yang berprestij dalam industri pembinaan sama dengan anugerah Oscar yang dihormati dan mendapat pengiktirafan bukan saja di United Kingdom tetapi di seluruh dunia.

“Ketika itu Smart perlu bersaing dengan 183 buah projek dari pelbagai negara maju lain seluruh dunia,” katanya.

Konsep dua fungsi Smart iaitu sebagai terowong kenderaan dan banjir adalah pertama dibina di dunia bagi menyelesaikan masalah banjir dan kesesakan lalu lintas.

Bagaimanapun Mohd. Fuad menambah pihaknya perlu menepati kriteria ketat yang ditetapkan oleh para hakim.

“Mereka menghakimi menerusi kepuasan pelanggan atau pengguna Smart dari segi nilai untuk wang, pelaksanaan, pemerolehan, kualiti reka bentuk dan pembinaan, keselamatan dan aplikasi pengurusan kualiti.

“Selain itu tiga elemen diambil kira iaitu konsep, reka bentuk dan pembinaan,” katanya.

Konsep dari segi tujuan, ketulenan, aplikasi penemuan penyelidikan, faedah kepada komuniti dan kos.

Sementara dalam reka bentuk pula dalam penggunaan bahan dan tenaga kerja secara cekap, penjimatan tenaga dan mesra alam, penglibatan sub-kontraktor dan inovasi.

Pembinaan pula melibatkan kerja berkumpulan, ekonomi, aplikasi penemuan R&D.

“Smart amat bertuah apabila berjaya disenarai pendek dalam kategori Antarabangsa berdasarkan bahan hanya kepada bahan yang dihantar.

“Apabila disenarai pendek, kami perlu memberikan memberikan taklimat mengenai projek Smart kepada kepada ahli panel antarabangsa di London termasuk temu bual,” katanya.

Pada Julai lalu, panel hakim melawat Smart dan telah diberikan penerangan mengenai terowong dwi fungsi bagi memenuhi kriteria mereka.

Mohd. Fuad berkata dalam memenangi anugerah BCIA, Smart bersaing dengan projek-projek besar dunia seperti Stesen Arena Bijlmer, Amsterdam, Lapangan Kriket Kensington Oval di Barbados, Menara Shin-Marunouchi di Jepun dan Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing T3 di China.

“Bagaimanapun kami rasa amat bertuah apabila jemaah hakim kagum dengan reka bentuk dan pembinaan projek berkenaan.

“Mereka juga bertemu dan menemubual pihak pengurusan dan mengadakan lawatan ke tapak Smart sebagai sebahagian penghakiman,” katanya.

Projek Smart, jelasnya menunjukkan kewibawaan tenaga kerja tempatan yang tidak berkompromi dengan kualiti keselamatan, kualiti dan menunjukkan mutu kerja berpasukan bagi menepati tarikh selesai projek.

Selain itu pihak Smart juga telah melaksanakan kerjasama yang baik dengan kedua-dua pelanggan mereka iaitu Jabatan Parit dan Saliran dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

“Smart juga mendapat pengiktirafan dan penghargaan daripada pelbagai pihak termasuk media antarabangsa seperti Discovery Channel dan National Geographic Channel,” katanya.

Mohd. Fuad menambah, SMART menunjukkan semangat Malaysia Boleh! dan membuktikan pakar tempatan masih boleh membina, mereka cipta dan menguruskan projek Malaysia yang bertaraf antarabangsa.

Nov 23, 2008

Tugasan seorang al-handasiyatul kimya…

Kejuruteraan kimia ( English- chemical engineering ) adalah satu himpunan ilmu yang menggunakan sepenuhnya kepakaran serta kemahiran dalam ilmu fizik dan kimia untuk membina serta mengaturcara aliran proses penghasilan bahan-bahan berasaskan bahan-bahan kimia pada skala yang besar dan berekonomi. Jurutera kimia berperanan membina aliran proses dengan memanfaatkan sepenuhnya sumber yang ada serta berusaha meminimumkan perbelanjaan dan mempertingkatkan pengeluaran produk baik dari segi bilangan( English- quantitative) mahupun mutunya( English-qualitative) .Mereka juga bertanggungjawab memperbaiki serta menambahbaikkan aliran proses sedia ada demi menyesuaikannya dengan keadaan semasa.

Baru-baru ini, sebagai sebahagian daripada penilaian dalam modul saya, Ijazah Sarjana Kejuruteraan Kimia, saya telah diberi tugasan berkumpulan , iaitu kami dikehendaki mengaturcara (English-design) satu aliran proses penghasilan monomer stirin. Setiap seorang daripada ahli kumpulan dikehendaki menghantar satu lakaran( sama ada teknikal Auto CAD mahupun lakaran tangan) satu kelengkapan yang terlibat dalam proses tersebut. Di samping itu,setiap seorang juga dikehendaki menghantar carta alir gambarajah proses tersebut, menggunakan Auto CAD. Dan yang terakhir, setiap kumpulan dikehendaki menghantar satu laporan mengenai proses tersebut.Agak penat juga selama dua hari berada di hadapan komputer, gelintar hampir seluruh internet demi menyiapkan tugasan ini.



Stirin(English-styrene) adalah sejenis bahan kimia yang banyak digunakan dalam pembuatan polistirin. Stirin dihasilkan melalui pelbagai cara, namun hanya satu sahaja kaedah yang digunapakai dalam penghasilan pada peringkat besar( English-large scale)


Polistirin



Kaedah tersebut dikenali sebagai penyahhidrogenan bermangkin( English-catalytic dehydrogenation), di mana bahan mentah etil benzene(English-ethyl benzene) dinyahhidrogenkan( dua atom hydrogen disingkirkan) bagi menghasilkan monomer stirin. Proses ini hanya berlaku pada tekanan 40 kPa dan suhu sekitar 600-650 darjah Celsius, dengan kehadiran mangkin besi(III) oksida, kromium(III)oksida dan kalium karbonat. Namun, kepelbagaian nilai tekanan dan suhu dalam kebuk tindak balas(English-reactor), ditambah pula dengan tabung penyulingan( English-distillation column) yang mana nilai tekanan dan suhunya perlu ditentukan sendiri( sebahagian daripada penilaian tugasan), telah menyukarkan sedikit penyelesaian tugasan ini. Namun saya berusaha sedaya-upaya yang mungkin, kerana tidak ada hasil yang memuaskan tanpa ada pengorbanan, kerja keras, dan usaha yang bersungguh-sungguh dan berterusan .Itulah nilai yang perlu ada pada seorang jurutera yang akan membangunkan negara suatu hari nanti.




P/S- terima kasih kepada Knovel kerana memudahkan tugasan saya dengan menyediakan graf2 tekanan wap melawan suhu.Mahu penjelasan lanjut? Layari www.knovel .com .

Nov 10, 2008

Perakaunan Forensik.

Satu bidang yang menggunakan sepenuhnya kepakaran dan kemahiran dalam bidang perakaunan dan kewangan, serta kepakaran menyiasat untuk menyelesaikan isu-isu dalam konteks pembuktian...

Nov 4, 2008

Bahan tambah makanan.

Bagi orang Islam, satu perkara yang tidak dapat dielakkan ketika membeli makanan di kedai2 makanan di negara yang majoriti penduduknya bukan Islam ialah melihat pada ramuan makanan yang ingin dibeli bagi memastikan sama ada makanan itu halal ataupun sebaliknya. Kadang2 ramuan-ramuan yang terlibat mudah untuk dikesan halal haramnya. Namun sesetengah ramuan sukar untuk dikesan halal haramnya kerana ditulis dalam bentuk kod industri. Sebagai contoh, E211, E311 dan sebagainya. Jadi kebanyakan umat Islam yang ragu2 akan terus memilih untuk tidak membeli barangan tersebut. Islam bukanlah agama yang sukar. Apalah gunanya menuntut ilmu jika ilmu tersebut tidak digunakan untuk memudahkan kehidupan.

“Orang yang menuntut ilmu tetapi tidak diamalkan umpama pohon yang tidak berbuah”

Di sini saya senaraikan beberapa jenis bahan tambah makanan yang kerap kali dijumpai dalam produk2 terkenal seperti Cadbury dan Coca-Cola.

E150d-sejenis caramel yang dihasilkan daripada pembakaran gula bersama garam ammonia dan sulfite. Terdapat berbagai jenis caramel( bahan pewarna yg dihasilkan daripada pembakaran gula biasa (sukrosa) pada suhu tinggi bersama asid atau alkali), warna caramel berubah-ubah mengikut jenis asid dan alkali yang digunakan. Biasanya E150d ditambahkan ke dalam air minuman berkarbonat seperti Coca Cola untuk memberi warna perang kehitaman.

E442 dan E476- sejenis emulsifier( bahan untuk menyebatikan campuran minyak dan air dalam produk makanan seperti coklat dan aiskrim).E442 dan E476 dibuat daripada protein soya( lecitin soya).Biasanya bahan ini digunakan sebagai emulsifier dalam produk coklat seperti Cadbury.Untuk makluman pembaca, kebanyakan produk Cadbury menggunakan emulsifier ini.

E211- nama kimia bagi bahan ini ialah natrium benzoat ( sodium benzoate ).Bahan ini digunakan sebagai bahan pengawet dalam minuman berkarbonat seperti Sprite. Ia juga bertindak sebagai pengawet dalam sos dan jem.

Terdapat berbagai-bagai lagi bahan tambah makanan yang digunakan dalam industri pembuatan makanan. Untuk maklumat yang lebih lanjut layari saja laman web laman web di bawah. Pembaca sekalian bolehlah mencari maklumat mengenai bahan2 ini dan mengetahui cara pembuatan dan sumbernya.-

http://en.wikipedia.org/wiki/E_number

http://www.morechemistry.com/food-additives/e150d.html

http://www.laleva.cc/food/enumbers/E141-E160.html

http://www.food-info.net/uk/e/e150.htm

Hidup tidak sukar. Cuma kejahilan yang menyukarkannya.