Aug 11, 2008

Sindiran

Sedang saya menyelak akhbar Mingguan Malaysia pada pagi semalam, di ruangan sastera, saya tertarik dengan sajak yang dikarang oleh seorang pemuisi ini. Cukup sinikal dan tajam sindirannya, mengenai sebuah bandaraya yang telah sekian lama dibanggakan rakyat Malaysia...di sini ingin saya arkibkan penulisan beliau. Moga para pembaca( kalau ada...) mendapat pengajaran dan iktibar.Kemajuan bukan dinilai hanya dari pembangunan lahiriah, malah juga dari pembangunan rohaniah dan moral masyarakatnya....

Kota Silap Mata

Alangkah ajaibnya kotaku
Sewaktu berjalan-jalan di hari minggu
Menjengah ke Kompleks kotaraya
kadang-kadang terasa memijak mozek
Manila
meninjau harga murah di Lorong Petaling
seperti berada di tengah-tengah Hong Kong atau Beijing

Menuju ke Dataran Merdeka
di atasnya megah menjulang tiang bendera
tertinggi di dunia
tapi di bawahnya kala hujan berlarutan
banjir kilat mampu menggelamkan kenderaan
riuh kesibukan di Chow Kit
teriak penjaja bertingkah irama dan goyang dangdut
seperti mengalir kita di tengah-tengah Jakarta

Mahu rasakan suasana Madras atau calcutta
kunjungi sahaja Brickfields
atau susuri bahagian belakang Jalan Berhala
melewati Jalan Telawi di Bangsar
tertusuk pedih halkum
menjamah dan meneguk budaya Amerika

Apabila terdengar laungan azan
ingin singgah di Masjid Negara
wah, ramainya orang ingin bersembahyang
rupanya lawatan pelancong dari luar negara
nikmat ketenangan di Tasik Perdana
mahupun di Titiwangsa
sudah menjadi medan asmara tempat
pasangan-pasangan bercengkerama
demikian juga di Pasar Budaya!
lebihnya, di sini sudah jadi tempat
pasangan sesama jantina...

Lajunya simpang siur di jalan raya
selaju arus sungainya selepas hujan
menggila
gilanya kesesakan lalulintas yang tidak
menentu masa
segila sikap para pemandunya
dan di sini yang ajaibnya
ramai doktor perubatan tanpa kelulusan
membuka klinik-klinik rawatan di bawah
jambatan

Sekarang kotaku semakin maju
komuter dan LRT bergerak laju tanpa
pemandu
tapi di stesennya masih ramai
berkeliaran peragut dan penyeluk-penyeluk
saku

Stadium Merdeka dan Stadium Negara
sudah menjadi monumen sejarah
apabila kompleks sukan di Bukit Jalil
tersergam megah
tapi anehnya mengapa skuad bolasepak
dan badminton kita masih lagi kalah?

Mahu bercerita tentang kemegahan!
segalanya ada di sini-menara kuala lumpur
KLCC,KLIA hinggalah ke bandar pintar
Cyberjaya
dan pusat pentadbiran di Putrajaya
kita sebagai penghuni memang patut
mengagumi dan menghargai
walaupun mungkin tidak mampu memiliki

Banyak lagi yang belum diteroka
kerana banyaknya kemajuan tercipta cuma
dalam sekelip mata
melengkapkan syarat dan terma sebagai
kota canggih lagi ternama

Agh!Alangkah ajaibnya
kotaku menunjukkan kelicikannya bermain
silap mata
seperti sebahagian pemimpinnya juga
yang menyihir rakyat dengan retorika dan
pintar kata-kata